Friday, September 4, 2009

Kehidupan ini....

Inilah rumahku, syurgaku
Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my




JITRA: Amat memilukan melihat kehidupan seorang warga emas di Kampung Pida 5, Sematang Jawa, Air Hitam, dekat sini, tinggal di pondok buruk seperti reban ayam yang dibina di atas tanah orang selain terpaksa menggunakan air parit untuk kegunaan harian sejak lebih 10 tahun lalu.Murad Mat, 80, bukan saja terpaksa berteduh di pondok seluas tiga meter persegi, tetapi hidup sebatang kara selepas berpisah dengan isterinya beberapa tahun lalu.Anak tunggalnya tidak lagi tinggal bersama selepas mengikut suami ke Langkawi.Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, pondok buruk itu hanya berdindingkan zink dan plastik selain kawasan sekitarnya dipenuhi sampah-sarap termasuk tong plastik dan tin buruk.
Malah, air parit digunakan Murad untuk mandi dan minum yang terletak kira-kira lima meter dari pondok bersebelahan sawah padi itu juga diragui kebersihannya.

Selain faktor usia termasuk sudah bongkok dan sering sakit sendi, Murad tidak mampu bekerja melainkan terpaksa mengharapkan ihsan jiran dan penduduk kampung.Tambah memilukan, pada Ramadan ini Murad hanya mampu berbuka dengan nasi kosong, ikan tamban kering dan air suam.“Jika ada duit lebih, saya akan meminta jiran belikan ikan di pasar, tapi jika tiada, saya makan apa saja yang ada. Hari ini (semalam) nak buka puasa pun saya tak tahu nak makan apa,” katanya ketika ditemui di pondoknya.Dalam keadaan uzur, Murad terpaksa menyediakan makanan seorang diri dan memasak dalam keadaan serba kekurangan.Malah, warga emas itu juga terpaksa menumbuk sambal dalam tempurung kelapa.Sejak lebih 10 tahun lalu, Murad terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan. Malah, sambutan Aidilfitri sudah tiada makna dalam hidupnya kerana keadaannya tetap sama saban tahun.“Walaupun hidup dalam keadaan daif, saya bersyukur kerana adik saya yang turut menetap di kampung ini sering memberi pertolongan dengan memberi makanan,” katanya.Murad berkata, sebelum ini dia tinggal di Sungai Mati, Langgar, dekat Alor Star, kira-kira 70 kilometer dari sini dan bekerja sebagai petani. Menurutnya, anak perempuannya yang tidak bekerja juga sudah lama tidak pulang menjenguknya sejak mengikut suami berpindah ke Langkawi.


No comments: