Wednesday, September 2, 2009

Al-fatihah...

Arwah bersungguh-sungguh ganti imam solat Tarawih
Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090831082955/Article/index_html


KUALA LUMPUR: “Semalam (kelmarin) buat kali pertama arwah mengimamkan solat Maghrib, solat Isyak dan sunat Tarawih di surau, namun tiada siapa menyangka hari ini (semalam) dia pula disembahyangkan,” kata Yunus Bahari, 54.

Dia jiran rapat mangsa yang maut, Abdul Karim Abd Aziz, 51, dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Persekutuan, berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, semalam.

Abdul Karim memandu kereta Perodua Kancil maut apabila kenderaannya dirempuh treler dipercayai dipandu laju dari arah bertentangan.

Beliau yang juga seorang peniaga meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala isterinya, Maimon Said, 52, dan anak lelakinya, Mohd Ihsan yang berada dalam kereta itu turut cedera.

Ketika kejadian, beliau dalam perjalanan ke sebuah pasar raya di Subang Jaya untuk membeli persiapan raya untuk isteri dan 12 anaknya.


Yunus yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) memberitahu sikap ganjil arwah bersungguh-sungguh mahu menjadi imam pada malam sebelum kejadian itu petanda arwah akan pergi buat selamanya.

“Arwah terus saja mahu menjadi imam apabila imam yang biasa mengetuai jemaah tidak hadir di Surau Darul Hidayah, Hulu Langat berdekatan tempat tinggal kami.

“Sikapnya pelik, dia tak pernah sukarela menawarkan diri menjadi imam,” katanya yang mengatakan jenazah Abdul Karim akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Hulu Langat, dekat sini.

Arwah mempunyai sembilan anak perempuan dan tiga lelaki berusia sembilan hingga 24 tahun.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, Asisten Superintendan Zulkafli Cheklah, berkata siasatan awal mendapati treler menuju pusat bandar itu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan seterusnya merempuh bahagian tempat duduk pemandu kereta Perodua Kancil berkenaan.

No comments: