Friday, October 17, 2008

Pertumbuhan ekonomi tahun depan 3.4% - MIER

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun depan kepada 3.4 peratus berbanding unjuran awal lima peratus sambil menyifatkannya angka terbaru itu sebagai lebih realistik.
Bagi tahun ini, unjurannya juga disemak semula kepada 5.3 peratus berbanding unjuran awal pada 4.6 peratus .
Pengarah Eksekutifnya, Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ariff berkata, unjuran itu bersesuaian dengan keadaan semasa berikutan negara turut menerima impak daripada krisis kewangan global.
''Sekiranya situasi (krisis kewangan) di Amerika Syarikat dan Eropah semakin serius daripada apa yang diramalkan sebelum ini maka kami mungkin menyemaknya semula tetapi buat masa sekarang, kami fikir ia adalah angka yang realistik,'' katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan ekonomi negara, di sini hari ini.
Semalam, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dijangka berada antara lima hingga 5.5 peratus, unjuran yang lebih rendah berbanding 5.7 peratus sebelum ini, manakala tahun depan pula disasarkan berkembang pada angka yang lebih kecil iaitu sebanyak empat peratus.
Mengulas lanjut, Mohamed Ariff menjelaskan, unjuran KDNK lebih rendah pada tahun depan dibuat berdasarkan kepada pendapatan kerajaan yang diramalkan terjejas secara serius kerana penurunan harga minyak di pasaran global.
Beliau menjelaskan 40 peratus daripada pendapatan kerajaan disumbangkan oleh minyak mentah, bahkan Bajet 2009 yang dibentangkan oleh kerajaan baru-baru ini adalah berdasarkan kepada harga minyak global yang ketika itu berada pada paras AS$100 (RM351) hingga AS$125 (RM438.75) setong.
''Kini harga minyak telah turun, oleh itu, pendapatan kerajaan akan turut terjejas,'' katanya.
Beliau berkata, negara secara teknikal diramalkan menghadapi kemelesetan ekonomi menjelang suku kedua dan suku ketiga tahun depan maka kerajaan perlu mengambil langkah untuk meningkatkan ekonomi bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk.
Sehubungan itu, Mohamed Ariff berkata, kerajaan perlu melaksanakan pakej rangsangan ekonomi atau pelan-pelan pemulihan lain yang akan melibatkan belanja yang besar sedangkan pendapatan berkurangan.
''Oleh itu, bajet defisit negara menjadi semakin besar,'' kata beliau yang mengunjurkan bajet defisit lebih lima peratus tahun ini dan empat peratus tahun depan berbanding unjuran kerajaan sebanyak 3.1 peratus pada 2009.
Mohamed Ariff juga berkata, negara tidak perlu meminta bantuan luar seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana impak kemelut kewangan itu tidaklah ketara berbanding apa yang bakal dialami oleh negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina di rantau ini.
''Kita berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran ini (ekonomi masih kukuh, sektor kewangan stabil, rizab antarabangsa dan imbangan perdagangan yang kukuh) tetapi kita tidak boleh mengambil mudah dalam melalui situasi ini,'' kata beliau.
Selain itu, Mohamed Ariff menjelaskan bahawa, ekonomi negara akan pulih dan kembali pada landasan yang asal menjelang tahun 2011.
Katanya, krisis kewangan semasa ini tidak sama seperti mana kemelut kewangan mata wang Asia pada tahun 1997 dan 1998 memandangkan masa yang agak lama diperlukan untuk kembali pulih.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

No comments: